Rabu, Mac 20, 2013

Hope

"Life : It gets better, It always gets better. Life will never put you through more than you can handle."




Hope a.k.a harapan, adalah perkataan yang sangat memberi makna dalam kehidupan aku. Ia menjadi punca aku terus berada di sini. Menjadi punca untuk aku terus menulis di blog ini. Harapan ada masanya boleh menjadi kawan yang baik di kala berduka. Dengan harapan lah seseorang dapat menjadi lebih bersemangat, gembira, terus bercita-cita dan bermotivasi untuk teruskan kehidupan. Namun, tidak harus dilupakan ada masanya ia juga boleh menjadi musuh yang sungguh kejam dalam kehidupan ini. Dengan harapan jugalah, ia boleh menjadi punca seseorang itu jatuh, diperdaya, putus asa dan hilang semangat untuk meneruskan kehidupan.

Sudah lama aku berkawan dengan perkataan harapan ini. Disebabkan oleh harapan, aku sanggup menunggu bertahun-tahun,  sanggup menahan sabar, sanggup meredah segala dugaan, sanggup menelan segala kepahitan. Biarlah aku diuji sepanjang masa, dijatuhkan sejuta kali sekalipun, harapanlah yang membuatkan aku kembali bangkit, kembali berani untuk meneruskan segala yang aku impikan. Apabila satu dunia mengatakan tidak, mendesak untuk aku berhenti, harapan lah yang membisikkan agar aku terus cuba, dan tidak berhenti berharap.

Harapan lah yang menemukan aku dengan seorang gadis yang suatu ketika sungguh asing bagi diriku. Gadis secantik dirinya tidak pernah wujud dalam kelompok kawan yang pernah aku kenali. Sejak dari hari pertama aku menegurnya, aku menaruh harapan agar dia menyedari kewujudan aku di dunia ini. Harapanku menjadi kenyataan, sungguh aku tidak menyangka dia benar-benar membalas teguran aku, dan kerana harapan yang sedikit itu, jalan hidupku berubah sama sekali sehinggalah ke hari ini.

Gadis itu telah memegang kunci hati aku untuk selama bertahun-tahun lamanya. Aku tidak lagi liar, tidak lagi nakal, tidak lagi mencari-cari gadis lain untuk berkenalan. Segala harapan ku letakkan kepada dia. Berharap agar aku dan dia dapat terus bahagia. Berharap agar diri ini dapat menjadi pelengkap hidupnya. Aku tidak pernah putus berharap, berharap agar segala yang ku impi, yang ku rancang menjadi kenyataan. Biarpon masa depan itu terlalu subjektif untuk dinilai, namun aku tidak pernah takut untuk terus mengharap dan mencuba. Harapanku nampak berhasil apabila dia menjadi tunangku. Aku jadi sungguh berani sehingga sanggup menaruh harapan pada sesuatu yang sebenarnya tidak pasti menjadi milikku. Namun dugaan tidak pernah berhenti untuk menjatuhkan aku dan harapanku.

Satu persatu dugaan menimpa. Di sepanjang perjalanan, terlalu banyak ketikanya aku merasakan didesak untuk melupakan segala harapanku. Sehingga ku rasakan harapan yang dulu menjadi kawan baikku telah bertukar menjadi lawanku yang kejam. Aku tidak tahu di mana silapnya. Sehingga aku menjadi buntu, buatkan ku pasrah dan tidak berusaha untuk meneruskan harapan yang dipegang sekian lama. Aku nilai kembali, dimana silapnya diri ini. Aku akhirnya kini sedar, silap dah salahku selama ini. Aku salah meletakkan harapanku.

Aku sepatutnya meletakkan harapanku kepada Allah. Tuhan segala makhluk. Dia lah yang lebih layak untuk menerima segala harapanku. Kerana Dia lah yang lebih mengetahui sedangkan aku tidak. Dia lebih tahu apa yang tersirat sedangkan aku tidak tahu apa-apa. Mungkin kerana kesilapanku ini, dugaan terus menimpa dalam hubungan aku dengan gadis itu. Kini, aku sedar, aku harus mengubah segala pemikiran aku, mengubah segala sikapku, aku harus menaruh harapan agar Allah membantu aku dalam menjalani kehidupan ini. Sungguh aku mengaku, aku sangat cintakan gadis itu. Atas sebab cintaku itulah aku mahu berubah, mahu kembali kepada Allah, mahu memohon pertolonganNya dalam memudahkan hubungan aku dengan gadis itu.

Kepada gadis itu, janganlah kau bersalah sangka. Aku masih menaruh harapan kepadamu. Aku menaruh harapan agar suatu hari nanti kau menjadi isteriku yang sah, yang halal untuk diriku. Namun, aku letakkan harapan yang lebih tinggi kepada Allah, agar Dia dapat membantu kita untuk bersama. Aku berharap agar Allah dapat memberi petunjuk, membimbing aku ke jalan yang benar, dan mempermudahkan segala urusan aku untuk memilikimu. Sesungguhnya aku sangat mencintaimu. Sesungguhnya aku tidak akan putus berharap untuk memilikimu.
Gambar sehari selepas jadi cik tunang.

Ya Allah, sesungguhnya kau mengetahui segala sesuatu sedangkan aku tidak tahu. Bantulah aku.

1 ulasan:

  1. Emil sayang abg.. Kite sama2 la didik diri kita jd lebih baik ya

    BalasPadam